Monday, February 19, 2018

Kesan Sosial Sebelum dan Selepas Merdeka

Pendahuluan

Sosial membawa satu pengertian yang luas mengenai masyarakat setempat. Antaranya ialah sistem sosial, struktur sosial, mobiliti sosial, bentuk kepercayaan, perhubungan antara masyarakat, dan stafikasi sosial. Namun, hanya beberapa aspek yang sangat ketara perubahannya selepas penjajahan oleh pihak Barat. Sebagai contoh, agama dan kepercayaan, bahasa, petempatan dan pendidikan.



Agama dan Kepercayaan

Sebelum kedatangan penjajah di Tanah Melayu, rakyat tempatan mengamalkan kepercayaan animism dan ajaran Hindu-Buddha sejak berkurun lamanya. Oleh itu, wujudlah pemujaan atau penyembahan kepada batu-batu, pokok-pokok, sungai-sungai, gunung dan fenomena alam yang lain. Namun begitu, semuanya berubah setelah kedatangan ulama-ulama Islam dan kedatangan mubaligh-mubaligh Kristian yang berteraskan kepercayaan kepada Tuhan. Mereka telah menyebarkan kepercayaan dan agama mereka kepada penduduk tempatan.



Bahasa

Selepas kedatangan British pada tahun 1874, telah banyak percampuran bahasa dalam pertuturan masyarakat Melayu. Istilah-istilah dalam bahasa Inggeris banyak dipinjamkan dalam bahasa Melayu. Sebagai contoh, television dan telefon. Bahasa Portugis juga dipinjamkan contohnya garfu dan almari. Namun begitu, kedatangan penjajah ke Tanah Melayu turut membawa kepada memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara.

Petempatan

Pihak British semasa zaman penjajahan mentadbir berdasarkan pendekatan 'pecah dan perintah' (divide and rule) dimana setiap bangsa/kaum bekerja di kawasan berasingan mengikut bangsa masing-masing. Pada masa tersebut, orang Melayu tinggal di kawasan perkampungan atau bandar-bandar tradisi dan bekerja sebagai petani sara diri. Kaum Cina pula bekerja sebagai peniaga di bandar manakala masyarakat kaum India bekerja sebagai buruh dan tinggal di estet dan ladang. Namun begitu, selepas kemerdekaan, masyarakat majmuk bebas tinggal di mana-mana asalkan tidak mencetuskan sebarang pergaduhan besar-besaran seperti rusuhan.






Pendidikan

Pada era sebelum kemerdekaan, orang Melayu, orang Cina dan orang India mempunyai sistem pendidikan yang tersendiri. Setiap bangsa tersebut mempunyai sekolah vernakular dan menggunakan bahasa ibunda sebagai bahaasa pengantar. Namun, selepas kemerdekaan, semua rakyat digalakkan untuk bersekolah di sekolah kebangsaan tanpa mengira kaum. Melalui cara ini, hubungan silaturahim antara semua bangsa dapat dieratkan dan membentuk masyarakat majmuk.





Kesimpulan

Sebagai rakyat Malaysia yang tinggal di kawasan masyarakat majmuk, setiap kaum perlu mengambil peluang dan berusaha untuk mengenali antara satu sama lain. Perkata tersebut membolehkan kita memahami dan menghormati setiap kehidupan sosial semua bangsa. Apabila kita saling memahami dan menghormati, negara kita dapat kekal menjadi negara yang aman dan bebas dari sebarang peperangan serta rusuhan kaum 13 Mei 1969 dapat dielakkan. Kepelbagaian budaya dan nilai hasil daripada kewujudan masyarakat berbilang kaum di negara ini telah menjadikan negara ini unik. Keunikan ini perlu dipelihara untuk tatapan generasi akan datang dan pada masa yang sama menjadi contoh kepada negara luar.